Pages

Subscribe Twitter Facebook

Tuesday, August 26, 2008

tiga amalan bawa pahala berkekalan

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Dalam hadis ini tiga amalan yang dapat membantu seseorang pada hari akhirat kelak iaitu sedekah yang pahalanya berterusan, ilmu baik yang diajarkan dan juga doa anak yang salih.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwakafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewakafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Ini bermakna, segala amalan kebajikan untuk kepentingan awam yang dihalalkan dikira sedekah jariah. Pahala berterusan akan diterima oleh orang yang melakukan amal itu.

Kedua, ilmu yang dapat dimanfaatkan - maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Quran dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Ketiga, anak yang salih yang mendoakannya - maksudnya anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang salih dan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang salih kepada orang tuanya diterima Allah.

Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud: “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” – (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Kesimpulannya, ketika masih hidup hendaklah kita sentiasa bersedekah dan membuat amal, khususnya pada perkara yang diberi ganjaran pahala berkekalan hingga ke hari akhirat.

1 comment:

faisol said...

terima kasih sharing info/ilmunya...
saya membuat tulisan tentang "Mengapa Pahala Tidak Berbentuk Harta Saja, Ya?"
silakan berkunjung ke:

http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/08/mengapa-pahala-tidak-berbentuk-harta.html

salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/

Sedekah Part 1

Sedekah Part 2

Sedekah Part 3